Dalam perundangan Islam, Halal bermaksud dibenarkan (lawful), Haram bermaksud tidak dibenarkan (unlawful) dan Masbuh bermaksud yang meragukan (doubtful). Dari aspek produk makanan, Halal merangkumi aspek bahan (bahan mentah & bahan pembungkusan), proses serta peralatan. Walaupun bahan-bahan atau alatan yang digunakan adalah halal, tetapi jika ianya diperolehi dengan cara yang haram (seperti melalui mencuri, merompak dan sebagainya), maka bagi orang yang mengetahui, ianya tetap haram.
Bagi orang Islam yang menghalusi, halal haram produk juga mencakupi wawasan atau niat organisasi yang mengeluarkan produk tersebut. Jika ada niat pengurusannya untuk menindas, memudaratkan atau menghina orang Islam atau membesarkan syiar yang bertentangan dengan Islam dengan hasil perniagaannya, maka bagi orang yang mengetahui dan menghalusi, ianya tetap tidak boleh disokong.
Sekiranya seseuatu produk itu dibuat daripada bahan-bahan yang halal, proses dan alatannya juga halal, maka ianya adalah Halal walaupun belum punyai logo Halal. Sebaliknya pula, terdapat juga kes di mana logo halal diciplak atau tidak diperolehi dengan jalan yang sepatutnya. Boleh jadi terdapat juga pengeluar yang tidak telus, menyenaraikan bahan-bahan halal sahaja sewaktu permohonan logo halal, tetapi hakikatnya dalam proses pengeluaran sebenar mencampurkan bahan rahsia yang haram. Ada juga kemungkinan berlaku di mana semuanya menepati prosedur halal tetapi pada suatu 'batch' pengeluaran tertentu tertumpah bahan haram tanpa sengaja ke dalam adunan. Hendak dibuang dianggap merugikan, jadi dikeluarkan juga dan dijual di pasaran. Dari itu, ciri-ciri keperibadian pengeluar juga harus dipertimbangkan.
Untuk umum pula, halal tidak semestinya baik untuk tubuh. Sayur adalah halal tetapi jika dipenuhi sisa racun serangga tetap ianya tidak baik. Gula putih juga halal, tetapi penggunaan berlebihan adalah tidak baik untuk tubuh. yang terbaiknya adalah HALALAN TOYYIBA (Halal Lagi Baik).
Manusia diberi akan untuk berfikir dan memilih. Maka fikirkanlah dan pilihlah apa yang terbaik untuk anda, keluarga dan seluruh umat Islam khususnya.