Tanah untuk penanaman jagung mesti dikerjakan dengan menyeluruh untuk mengembur, menghapus rumpai, memperbaiki pengudaraan dan penyerapan air yang baik untuk pertumbuhan akar dan pokok.
Membajak piring dua minggu sebelum menanam sedalam di antara 20 dan 25 sentimeter (sm) untuk memasukkan sisa tanaman dan rumpai ke dalam tanah.
Membajak putar selepas membajak piring untuk memecahkan tanah menjadi ketulan kecil.
Mengapur untuk menaikan pH tanah kepada yang optimum iaitu 5.5 dan disyorkan GML (ground magnesium limestone) dengan kadar dua tan/ha untuk tanah biasa dan empat tan/ha untuk tanah gambut.
Bahan tanaman adalah biji benih dengan kadar lapan hingga 10 kg/ha.
Jarak tanaman bergantung pada jenis tanah dan jenis jagung, biasanya 75sm x 50sm atau 75sm x 30sm dengan kepadatan sebanyak lebih kurang 53,333 pokok/ha.
Menanam boleh mengunakan jentera atau tugal bagi kawasan yang kecil sama ada dalam alur (furrow), atas batas atau di atas tanah yang rata
Biji benih dirawat dengan racun kulat dan serangga sebelum ditanam sedalam dua hingga empat sm ke dalam tanah sebanyak dua biji selubang dan akan bercambah selepas di antara empat dan tujuh hari selepas ditanam.
Penjarangan perlu dilakukan tiga minggu selepas ditanam dengan meninggalkan satu pokok selubang.
Air amat kritikal pada peringkat awal tumbesaran awal dan masa pembungaan dan pembentukan biji jagung.
Siraman perlu dibuat dua kali sehari dengan sistem pengairan renjis (kos RM5,00 - RM 8,000/ha)
Keperluan asas tanaman
Suhu 30 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius.
Taburan hujan di antara 500 dan 700 mm/tahun.
Jenis tanah yang subur iaitu tanah alubium hitam dengan resapan air yang baik, tanah lom berpasir dan juga tanah gambut dengan pengapuran.
pH tanah 5.0 - 6.5
Penyelenggaraan
Pembajaan bergantung kepada jenis tanah, amnya kadar NPK sebanyak 120:60:40 kg/ha adalah sesuai untuk semua jenis tanah. Baja seperti NPK Blue Special (12:12:17:2) boleh digunakan dan dibubuh sebanyak dua kali dalam semusim
Kawalan rumpai boleh dijalankan dengan menyembur racun pracambah seperti Atrazine dengan kadar 120g/16 liter air dan diikuti merumpai secara manual atau jentera selepas tiga hingga empat minggu ditanam dan diikuti satu atau dua lagi pusing merumpai.
Mengambus atau menambak adalah kerja-kerja memupuk tanah atau batas-batas tanah ke perdu pokok jagung apabila tanaman mencapai ketinggian 60 sm bagi mengawal kelembapan tanah, mengawal rumpai.
Menahan dari pokok rebah dan mencegah akar pokok keluar dari permukaan tanah yang dilakukan selepas menabur baja supaya dapat mengeluarkan hasil yang baik kerana dapat mengawal kehilangan baja.
Penyakit kulat seperti hawar daun dan karat jagung boleh dikawal dengan racun kulat seperti Thiram dan Zineb selain dari amalan agronomi yang baik dengan menggunakan biji benih yang bebas penyakit dan musnahkan tanaman yang terdahulu
Penyakit tongkol (smut) menyebabkan tongkol jagung membengkak/bisul dapat dikawal dengan memusnahkan pokok yang diserang.
Penyakit reput batang bakteria menyebabkan batang pokok jagung reput dan patah boleh dicegah dengan amalan kultura yang baik dan memusnahkan pokok yang diserang.
Serangga perosak yang selalu menyerang tanaman jagung adalah seperti ulat pengorek batang jagung, ulat tongkol jagung, ulat ratus dan kepinding boleh dikawal dengan racun serangga seperti Malathion, Sevin, Diptrex dan sebagainya
Perosak mamalia seperti tikus boleh dikawal dengan amalan kultura yang baik atau guna perangkap atau umpan beracun
Penuaian
Jagung manis boleh dituai selepas 68 hingga 72 hari selepas menanam untuk dimakan (rebus) dan 90 hingga 100 hari untuk dijadikan biji benih.
Jagung dipetik mengggunakan tangan pada awal pagi atau petang sahaja dan boleh disimpan segar pada suhu biasa selama 24 hingga 36 jam dan pada suhu 3 - 50 darjah C boleh disimpan selama tiga minggu.
Hasil secara purata 30,000 tongkol sehektar.